Sunday 6 April 2014

KENEGARAAN

Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut. Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada zaman inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas Portugis, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan. Terdapat beberapa individu mula bangkit menentang penjajah namun disebabkan usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan, penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain. Dalam era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Perjuangan mereka mula melibatkan wadah media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada di kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Perjuangan golongan ini mula bermatlamat untuk mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Dalam usaha rakyat Malaysia memperjuangkan kemerdekaan, Tanah Melayu telah dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermula satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 dan akhirnya telah menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Pengunduran Jepun telah memberi sedikit ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat penentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri. Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Perikatan dengan dua parti utama iaitu kaum Cina dan India mula membuka mata British untuk membenarkan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi harapan bahawa negara akan mendapat taraf merdeka sepenuhnya menjelang 31 Ogos 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, negara berhadapan pula dengan masalah apabila ingin menubuhkan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA terjelma pada 16 September 1963. 1Malaysia dalam Lipatan Kemerdekaan Acara Penuh Emosi Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1956. Bertempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, pengisytiharan kemerdekaan ini dibaca di hadapan Raja-Raja Melayu dengan disaksikan oleh 20,000 rakyat tempatan, 26 perwakilan asing serta 21 tetamu khas. Selepas membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat dan laungan itu mendapat sambutan daripada hadirin dengan pekikan gemuruh sehingga menggegarkan suasana stadium. Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Angkatan Tentera Laut diiringi lagu kebangsaan “Negaraku’ dan bedilan meriam sebanyak 101 das. Acara penuh emosi disambung dengan laungan azan sebagai tanda kesyukuran berakhirnya sebuah penderitaan yang panjang. Peristiwa ini juga menandakan lahirnya sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. Pengorbanan Hati dan Perasaan Menyingkap peristiwa bersejarah ini, memberi peluang kepada generasi muda mengetahui erti kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan menuntut banyak pengorbanan. Bukan setakat berkorban harta. Bukan setakat berkorban masa. Pengorbanan mereka hingga ke peringkat mengorbankan hati dan perasaan. Walaupun pada peringkat awal perjuangan, ada cadangan yang mahukan kita berjuang menuntut kemerdekaan melalui peperangan namun, Tunku Abdul Rahman tetap berkeras untuk cuba membebaskan Tanah Melayu tanpa melibatkan pertumpahan darah. Beliau tidak mahu rakyat terkorban. Beliau tidak mahu ada rakyat hidup dalam kesusahan akibat peperangan. Daripada peringkat awal ini, sudah terserlah pimpinan Persekutuan Tanah Melayu mendahulukan rakyat seiring dengan apa yang diperjuangkan dalam gagasan 1Malaysia. Prinsip Penerimaan Apa yang dikatakan sebagai pengorbanan hati dan perasaan ini ialah satu pengorbanan berbentuk emosi yang bukan semua orang mampu melakukannya. Pengorbanan ini kalau dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia, ia terserlah dalam prinsip pertama iaitu prinsip penerimaan. Penerimaan dalam konteks pengorbanan yang membawa kepada kemerdekaan ialah kesediaan pimpinan Tunku Abdul Rahman menerima kaum-kaum lain iaitu kaum Cina dan India untuk sama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan. Prinsip penerimaan ini telah berjaya menggabungkan tiga parti politik utama iaitu UMNO, MIC dan MCA membentuk parti PERIKATAN. PERIKATAN telah mendapat kepercayaan majoriti dalam pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada tahun 1955. Kemenangan besar ini akhirnya memberi kepercayaan kepada British bahawa Tanah Melayu sudah bersedia untuk berkerajaan sendiri. Perpaduan Dalam Kepelbagaian Penggabungan ini juga membuktikan kewujudan bibit-bibit perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum pada waktu itu. Perpaduan ini juga telah membentuk satu pasukan perundingan yang dihantar ke London bagi mendapatkan kemerdekaan negara pada Februari 1956. Rombongan Tunku bersama-sama wakil-wakil kaum lain seperti V.T. Sambanthan dan Tan Cheng Lok, telah berjaya membuahkan hasil apabila British berjanji akan memberikan taraf Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1956. Dalam peringkat pembentukan sebuah negara yang bebas dan berdaulat, penerimaan kaum Melayu untuk memberikan taraf warganegara kepada kaum migrasi Cina dan India juga membuktikan bahawa ia merupakan satu bentuk pengorbanan yang besar. Kaum Cina dan India pula menerima hakikat bahawa kaum Melayu akan menerima hak istimewa sebagai bumiputera dan kesemua pengorbanan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan ini telah memberi hak yang tepat kepada rakyat dan pada hari ini dalam 1Malaysia, perjuangan membentuk perpaduan juga berlandaskan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Prinsip Kenegaraan dan Keadilan Sosial Selain prinsip penerimaan, dua lagi prinsip teras dalam 1Malaysia iaitu kenegaraan dan keadilan sosial, memang sudah terlihat dalam perjuangan kemerdekaan. Kenegaraan yang dikaitkan dengan semangat nasionalisme dan cintakan negara telah membuatkan Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO bangkit menentang Malayan Union. Semangat kaum Melayu ini akhirnya berjaya meresapi dua kaum lagi iaitu Cina dan India untuk sama-sama bangun berjuang membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Walaupun pada peringkat awalnya, migrasi Cina dan India menumpahkan taat setia mereka kepada negara asal masing-masing, namun apabila mereka suda lama bertapak di tanah Melayu, perasaan sayang dan cintakan negara mula timbul dan melalui MIC dan MCA, mereka bergabung dengan orang Melayu berjuang demi negara tercinta. Dalam prinsip keadilan sosial pula, semua rakyat Tanah Melayu akan terbela nasibnya dan tidak akan ada mana-mana kaum yang akan dipinggirkan. Hal ini jelas dapat dilihat di awal pembentukan Persekutuan Tanah Melayu khususnya dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang memelihara hak semua kaum dan ia merupakan satu dokumen undang-undang yang tertinggi. Dalam usaha mencapai kemerdekaan, perbincangan antara kaum yang dikenali dengan kontrak sosial ini membuahkan hasil di mana semua kaum bersetuju bahawa mereka telah dan akan mendapat hak masing-masing dan hak itu terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan lagi. 1Malaysia, Satu Kesinambungan Ketiga-tiga prinsip dalam gagasan 1Malaysia sudah terbukti berjaya membawa Tanah Melayu mengecap kemerdekaan setelah berada di bawah penjajah selama 446 tahun. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia adalah satu kesinambungan daripada perjuangan generasi lampau. Ia juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia memberi satu penyelesaian yang baik bagi sebarang pertikaian yang melibatkan perpaduan kaum. Elemen 1Malaysia nampaknya telah berjaya membawa Tanah Melayu berdiri megah sebagai satu negara yang merdeka dan berdaulat. Hari ini, kita dalam perjuangan membawa 1Malaysia untuk menjadikan negara kita sebagai negara yang berpendapatan tinggi seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020. MALAYSIAKU YANG MERDEKA Malaysiaku Yang Merdeka Kemerdekaan yang dinikmati oleh generasi hari ini adalah hasil perjuangan masyarakat lampau. Mereka telah berjuang dengan segala keringat yang ada sehingga berjaya membuahkan hasil iaitu bebasnya Tanah Melayu ini dari cengkaman penjajah. Selama 219 tahun penjajah mengaut keuntungan di negara bertuah ini, akhirnya pada 31 Ogos 1957, negara bebas sepenuhnya untuk membentuk kerajaan sendiri. Hasil kemerdekaan inilah yang kita kecapi hari ini di mana pembangunan negara dapat di rancang dan dilaksanakan tanpa halangan dan rakyat dapat membina kehidupan yang sejahtera dalam keadaan aman dan damai. Cengkaman Penjajah Inggeris Penduduk Tanah Melayu semasa penjajah Inggeris boleh diibaratkan sebagai kerbau yang dicucuk hidungnya. Raja-Raja dan Pembesar hilang kuasa dan segala kekayaan negara dikaut sewenangnya. Ekoran kehilangan kuasa ini, muncul pejuang-pejuang yang cuba untuk mendapatkan hak mereka seterusnya berjuang untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Sultan Abdullah merupakan salah seorang Raja yang bangun menetang penjajah Inggeris akibat kehilangan kuasa. Perjuangan Awal Pembesar-pembesar Melayu yang telah dinafikan hak mereka dan raja-raja yang kehilangan kuasa telah bangun menentang penjajah. Perjuangan mereka ini telah mencetuskan pemberontakan di beberapa negeri dan daerah. Dol Said di Naning, Raja Mahadi di Selangor, Dato’ Maharaja Lela di Perak, Mat Kilau di Pahang dan beberapa pejuang lain telah bangun menentang Inggeris khususnya Sistem Residen yang telah menenggelamkan kuasa mereka. Disebabkan pemberontakan ini bersifat setempat dan tidak menyeluruh, kuasa Inggeris telah berjaya menumpaskan setiap percubaan dengan mudah. Jepun dan Komunis Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945 telah meninggalkan titik hitam yang mendalam di hati masyarakat Tanah Melayu. Mereka telah diseksa dengan kejam dan dibunuh dengan sewenangnya. Bangsa Melayu juga tidak terlepas daripada kekejaman Jepun sehinggakan mereka mulai sedar bahawa sudah sampai masanya penduduk bersatu hati membebaskan diri dari terus dijajah. Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA). Komunis juga telah bertindak kejam pada penduduk tempatan dalam usaha meraih sokongan bagi menentang British. Darurat Tanah Melayu telah diisytiharkan darurat pada tahun 1948 hingga 1960. Darurat diisytiharkan ekoran keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh komunis. Mereka telah membunuh orang Inggeris dan penduduk tempatan yang menentang mereka. Kekejaman mereka tidak mungkin dilupakan begitu sahaja oleh penduduk Tanah Melayu khususnya selepas peristiwa di Kepong. Ramai lagi askar-askar Melayu yang cacat anggota akibat keganasan komunis. Penerusan Satu Perjuangan Golongan yang mendapat pendidikan agama dari timur tengah, golongan yang mendapat pendidikan Inggeris dan golongan yang mendapat pendidikan Melayu dari Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim telah bangun untuk menyedarkan rakyat Tanah Melayu yang lena dibuai mimpi dan janji palsu penjajah. Dalam era ini, medium seperti akhbar dan majalah mula menguasai perjuangan mereka. Akhbar seperti Al-Imam, Al-Ikhwan, Saudara dan Neracha menjadi wadah menyebarkan ideologi perjuangan mereka. Antara tokoh yang terlibat ialah Mohamad Eunos Abdullah, S.M Zainal Abidin, Ishak Haji Muhammad dan Ibrahim Hj. Yaakob. Pejuang-pejuang ini mula bergerak secara berpersatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang turut menerbitkan Warta Malaya dan Majlis sebagai wadah menyebarkan idea perjuangan. Kemerdekaan : Hasil Satu Perjuangan Suara penentangan semakin lantang dengan penolakan beramai-ramai apabila Inggeris cuba memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Rakyat daripada segenap lapisan masyarakat walaupun disogok dengan idea komunisme, telah menolak semua anasir tersebut dengan merasakan bahawa sudah tiba masanya rakyat negara ini mendapat hak masing-masing. Melalui Parti Perikatan, mereka berjuang untuk memperoleh kemerdekaan mutlak daripada Inggeris. Pilihan raya 1955 menyaksikan kemampuan negara untuk berkerajaan sendiri. Hasil penyatuan tiga kaum utama telah memberi keyakinan kepada Inggeris bahawa sudah sampai masanya mereka berundur. Perjuangan orang Melayu melalui parti politik UMNO yang ditubuhkan pada 1946 mula membuahkan hasil apabila berjaya bergabung dengan parti politik kaum lain. Orang Cina yang menubuhkan MCA pada 1949 dan Orang India yang menubuhkan MIC pada 1945 telah bertolak ansur dengan kaum majoriti Melayu dengan membentuk kesepakatan melalui Parti Perikatan. Penggabungan ini menyebabkan perjuangan peringkat ini adalah perjuangan yang menyeluruh. Penjajahan Inggeris yang sebelum ini langsung tidak mengambil kira kepentingan penduduk tempatan mula membuka mata mereka dan sedar bahawa perpaduan antara tiga kaum utama ini pastinya sukar di patahkan seumpama segenggam lidi yang sudah dijadikan penyapu. Tekat membebaskan negara dari penjajah sudah bulat dan wakil negara ke London yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya mendapatkan janji Inggeris bahawa negara akan merdeka menjelang 31 Ogos 1957. Nama-nama besar seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, dan V.T Sambanthan harus terus dicanang agar usaha mereka yang telah berjaya membuahkan hasil kemerdekaan akan terus dikenang. 31 Ogos 1957 menjadi saksi segenap lapisan masyarakat bahawa negara telah bebas dari belenggu penjajah. Pasca Kemerdekaan Kedudukan Tanah Melayu selepas kemerdekaan juga mencabar. Hasil usaha Tunku Abdul Rahman, Sabah dan Sarawak serta Singapura berjaya disatukan di bawah satu negara yang diberi nama Malaysia. Walaupun Indonesia telah melancarkan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia, namun Malaysia telah berjaya menghadapinya. Penduduk Malaysia yang berbilang bangsa telah mencetuskan satu lagi titik hitam dalam sejarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Ekoran peristiwa itu, kepentingan perpaduan mula menjadi agenda penting dalam setiap perancangan pembangunan negara. Rukun Negara telah diperkenalkan bagi membangkitkan rasa cintakan negara. Dasar Ekonomi Baru juga diperkenalkan bagi menyusun semula masyarakat. Pembangunan Negara Rancangan Malaysia Pertama diperkenalkan pada tahun 1966-1970 bagi memberi garis panduan kepada kerja-kerja pembangunan negara. Rancangan lima tahun ini sudah menjangkaui Rancangan Malaysia Kesembilan bagi tahun 2006-2010. Pelbagai bentuk Pembangunan telah dirancang oleh pihak kerajaan sama ada pembangunan dari sudut fizikal mahupun dari sudut mental. Jadi tidak hairanlah kalau hari ini Malaysia sudah terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara Islam yang aman dan makmur walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang berlainan agama dan bangsa. Merdeka dan Perpaduan Ada pendapat yang menyatakan bahawa mengekalkan kemerdekaan adalah lebih susah daripada perjuangan mendapatkan kemerdekaan itu. Namun apa yang penting ialah semua rakyat sedar bahawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini menuntut perasaan saling hormat-menghormati. Masyarakat majmuk ini menuntut rakyatnya menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia dan masyarakat majmuk ini perlu sentiasa diingatkan akan kepentingan perpaduan. Tanpa perpaduan, segala yang dibina dalam negara selama ini, akan hancur berkecai seumpama kaca yang jatuh berderai. Pengenalan konsep 1Malaysia oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia amatlah bertepatan dengan struktur masyarakat negara ini. Tema “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” pula bertepatan dengan kehendak semasa masyarakat negara ini. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum harus saling hormat menghormati dan bersatu padu dalam menjaga perpaduan antara kaum. Tarikh-Tarikh keramat